Wednesday, 31 December 2014

Persiapan Misi Kemanusiaan Bantuan Bencana Banjir

Sejak dilancarkan pada 26 Dis 2014 yang lalu, persiapan misi begitu rancak dijalankan. Pelbagai usaha dijalankan bagi menjayakan usaha murni ini. Pelbagai cabaran ditempuhi dengan tabah dalam usaha merealisasikan misi ulung khidmat masyarakat anjuran Kelab SMPB72 ini. Proses pengumpulan dibahagikan kepada 3 zon berdasarkan taburan penempatan ahli-ahli kelab iaitu Zon 1 - Pasir Gudang/Johor Bahru, Zon 2 - Simpang Renggam/Benut/Pontian dan Zon 3 - Kluang/Batu Pahat/Muar.

Ketua Koordinator bagi Zon Pasir Gudang/Johor Bahru ialah Pn Suria bt Karto. Bagi Zon Simpang Renggam/Benut/Pontian pula Ketua Koordinatornya adalah Mohd Johari bin Sarkom manakala bagi Zon Kluang/Batu Pahat/Muar pula Ketua Koordinatornya adalah Mohd Fadzil bin Hj Ngadiman.

Sambutan terhadap misi bantuan ini sangat baik dan begitu menggalakkan. Selain ahli-ahli kelab ini, sumbangan daripada orang awam juga turut diperolehi. Pelbagai bentuk sumbangan seperti makanan, minuman, pakaian, lampin pakaibuang dan sumbangan dana turut diperolehi. Tanpa mengenal penat dan lelah serta keringat yang mengalir, ahli-ahli sukarelawan kelab zon-zon berkenaan terus berusaha menabur bakti meraih sumbangan untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir nanti.









Hari demi hari kian berlalu. Kini persiapan terakhir giat dijalankan. Persiapan sebelum melaksanakan misi seperti  mengasingkan barangan sumbangan dan memunggah barangan ke dalam kenderaan pacuan 4 roda dilakukan sehari sebelum hari sebenar penghantaran bantuan iaitu pada hari Jumaat, 2 Jan 2015 di rumah En Johari di Simpang Renggam. Barangan sumbangan yang diperolehi dari semua zon berkenaan dibawa dan ditempatkan secara berpusat di Zon 2 iaitu di Simpang Renggam.

Sukarelawan Kelab SMPB72 bagi misi ini akan dibekalkan dengan vest Crew Kelab SMPB72 yang telah disumbangkan oleh seorang penyumbang yang namanya enggan didedahkan.




Inilah usaha yang terbaik dan mampu kami lakukan bagi menghayati, menyelami dan membantu mangsa-mangsa bencana banjir khususnya kepada mangsa-mangsa di sekitar Negeri Johor. 

















Kepada semua penyumbang, tahniah dan terima kasih diucapkan. Semoga sumbangan yang diberikan mendapat ganjaran yang sewajarnya daripada Allah swt, in sya Allah. Aamiin.

Tuesday, 30 December 2014

Pelancaran Misi Kemanusiaan Bantuan Bencana Banjir Johor



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

MISI KEMANUSIAAN BANTUAN BENCANA BANJIR

Atas dasar keperihatinan dan semangat persaudaraan sesama islam, Kelab SMPB72 akan memberikan bantuan dan sumbangan kepada mangsa-mangsa bencana banjir yang sedang melanda negara sekarang ini. Kemusnahan harta benda dan nyawa yang sedang mereka alami sekurang2nya akan terubat dengan bantuan yang tidak seberapa ini. Sumbangan berbentuk pakaian, lampin pakaibuang, selimut, makanan, minuman dan sebagainya sangat dialu-alukan. Tumpuan bantuan bencana alam ini akan dilakukan bagi mangsa-mangsa bencana di sekitar Negeri Johor.

Pengumpulan barangan akan dilakukan seperti ketetapan dibawah:

1. Tarikh: Mulai sekarang.

2. Tempat2 Pengumpulan:

- Simpang Renggam/Benut/Pontian (Hubungi: Mohd Johari bin Sarkom 013-7638998).

- Kluang/Batu Pahat/Muar (Hubungi: Mohd Fadzil bin Hj Ngadiman  019-3005373).

- Pasir Gudang/Johor Bahru (Hubungi: Pn Suria bt Karto / Abdul Razak 012-7741567).

3. Masa: 9 pagi - 5 petang.

Penyerahan kepada mangsa-mangsa banjir akan dilakukan pada 3 Jan 2015 oleh ahli-ahli Kelab SMPB72 setelah proses pengumpulan dilakukan. Sukarelawan ahli-ahli Kelab SMPB72 yang ingin menyertai misi ini sangat dialu-alukan.

Bagi yang ingin menyalurkan sumbangan dana, wang boleh disalurkan ke dalam akaun seperti berikut:

1. Maybank : 151025794280 - Mohd Johari bin Sarkom. ATAU,

2. Maybank : 101067064548 - Mohd Fadzil bin Hj Ngadiman. ATAU,

3. Maybank : 151249976365 - Abdul Razak bin Samsuri / Suria bt Karto.

Sebarang pertanyaan sila hubungi pegawai2 diatas.

Marilah kita sama-sama berdoa dan membantu mangsa-mangsa bencana banjir ini walaupun dengan sumbangan RM 1 atau sehelai pakaian untuk mereka. Semoga usaha kita ini diberkati Allah swt dan dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka.

Semoga kesusahan dan kesengsaraan mereka segera ditamatkan dan dipermudahkan segala urusan mereka, in sya Allah. Aamiin.

Sekian, terima kasih.

✨KELAB SMPB72 - MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT✨

Layari: KelabSMPB72.blogspot.com

Copy/paste @ share @ retweet...
Mohon sebarkan.

Tuesday, 9 December 2014

Family Day 2014

Penuh keriangan... Sebahagian ahli keluarga yang hadir

Tanggal 6 Dis dan 7 Dis 2014 merupakan tarikh yang penuh nostalgia kepada sebahagian ahli-ahli Kelab SMPB72. Tarikh dimana mereka berkumpul bersama-sama keluarga masing-masing bagi merealisasikan program Family Day Kelab SMPB72 bagi tahun 2014. Bertempat di Teluk Gorek, Mersing mereka mula berkumpul dan memulakan aktiviti family day ini.

Antara ahli Kelab SMPB72 yang hadir

Atas dasar dan prinsip kerjasama serta semangat setiakawan, semua ahli kelab yang hadir telah sama-sama mengatur aktiviti kekeluargaan ini. Program yang menghimpunkan seramai 20 buah keluarga ini berjaya menyatukan lebih 90 ahli keluarga dalam pelbagai aktiviti sukaneka, BBQ, karaoke, cabutan bertuah  dan lain-lain lagi. Keseronokan dan keriangan semua yang hadir telah membuktikan mereka bukan sahaja keluarga bahagia KELAB SMPB72 malahan mereka semua SAHABAT SEJATI.

Terima kasih kepada semua yang hadir dan memberikan kerjasama sepanjang family day ini berlangsung. Tahniah  kepada semua AJK yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan program pada kali ini. Jumpa lagi di FAMILY DAY KELAB SMPB72 tahun 2015, In sya Allah.







Monday, 8 December 2014

Bahang Teluk Gorek - Family Day Kian Terasa

Bahang kian terasa. Family day Kelab SMPB72 akan diadakan pada 6 dan 7 Dis 2014 di Teluk Gorek, Mersing.

Namun ada dikalangan sahabat kelab yang begitu teruja untuk menyambutnya. Sehari awal iaitu pada 5 Dis 2014, mereka telah terpacak di Teluk Gorek Resort. Bohari Surat dan Siti Aminah Shafie, mereka adalah yang paling awal memulakan perjalanan ke Teluk Gorek sebelum ahli yang lain tiba pada 6 Dis 2014. Sangat teruja katanya.

Sementara itu, ahli-ahli yang lain tiba pada tengahari dan petang 6 Dis 2014.