LATARBELAKANG

Kelab SMPB72 telah ditubuhkan secara rasmi pada Julai 2014. Ahli-ahli kelab ini terdiri daripada bekas pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Betak (SMKPB) yang dahulunya dikenali sebagai Sekolah Menengah Parit Betak (SMPB) yang lahir pada tahun 1972. Sebahagian ahli-ahli yang berjaya dijejaki semula dan menganggotai kelab ini adalah seramai 134 orang. Nama-nama mereka boleh disemak di sini.

Kelab ini mempunyai identiti dan logonya yang tersendiri. Logo Kelab SMPB72 dan rasional logo tersebut boleh dibaca di sini. Kelab ini mempunyai organisasi dan ahli jawatankuasa yang merancang, melaksanakan dan menggerakkan aktiviti kelab ini. Ahli jawatankuasa Kelab SMPB72 adalah sepertimana di sini.

Aktiviti-aktiviti yang direncanakan dan dilaksanakan adalah berkisar kepada mengeratkan lagi tali siraturahim diantara ahli yang telah terpisah sejak meninggalkan bangku persekolahan pada tahun 1989. Antaranya ialah hari keluarga, reunion, program motivasi, melawat ahli yang sakit, menziarahi kematian ahli, perjumpaan tidak formal dan lain lain lagi. 

Kelab SMPB72 juga terlibat dengan merancang dan melaksanakan aktiviti kemasyarakatan khidmat komuniti bersama masyarakat setempat. Di antara aktiviti kemasyarakatan khidmat komuniti yang telah dilakukan ialah misi kemanusiaan bantuan bencana banjir bagi negeri Johor dan negeri-negeri di Pantai Timur. Selain menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir, Kelab SMPB72 juga membuat kerja-kerja gotong royong di rumah-rumah mangsa bencana banjir tersebut.

Manakala bagi program motivasi pula dirancang dan dilaksanakan di sekolah-sekolah yang tertentu seperti mengadakan sesi motivasi kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan UPSR, PT3, dan SPM. Selain melibatkan pelajar, program motivasi anjuran kelab ini juga turut melibatkan ibu bapa dan penjaga di dalam sesi motivasi tersebut. Solat hajat perdana juga dimasukkan di dalam program motivasi tersebut. Setakat ini, sekolah-sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan Seri Belahan (Rengit), Sekolah Agama Seri Semangat (Benut) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Betak (Benut). 

Di samping itu, kebajikan ahli-ahlinya turut diambil berat dan mendapat perhatian oleh ahli kelab yang lainnya. Ini dapat dilihat dan dibuktikan apabila terdapatnya ahli-ahli kelab yang sakit, cedera dan kematian akan turut dilawati oleh ahli-ahli kelab yang lain. Sedikit sumbangan bagi meringankan beban daripada kelab akan turut diberikan ketika lawatan dilakukan. Aktiviti gotong royong sesama ahli juga kerap dilakukan terutamanya apabila kelab menganjurkan sesuatu aktiviti dan mesyuarat kelab. Ada di antara mereka yang sanggup datang dari jauh semata-mata ingin mengambil bahagian dalam aktiviti kelab ini.

Kerjasama yang erat, semangat yang padu dan semangat setiakawan terjalin erat di setiap sanubari ahli-ahli kelab ini. Kelab SMPB72 akan terus memainkan peranannya selari dengan keperluan semasa dan kesesuaian aktiviti yang dilakukan.

"MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT"

No comments:

Post a Comment