Wednesday, 31 December 2014

Persiapan Misi Kemanusiaan Bantuan Bencana Banjir

Sejak dilancarkan pada 26 Dis 2014 yang lalu, persiapan misi begitu rancak dijalankan. Pelbagai usaha dijalankan bagi menjayakan usaha murni ini. Pelbagai cabaran ditempuhi dengan tabah dalam usaha merealisasikan misi ulung khidmat masyarakat anjuran Kelab SMPB72 ini. Proses pengumpulan dibahagikan kepada 3 zon berdasarkan taburan penempatan ahli-ahli kelab iaitu Zon 1 - Pasir Gudang/Johor Bahru, Zon 2 - Simpang Renggam/Benut/Pontian dan Zon 3 - Kluang/Batu Pahat/Muar.

Ketua Koordinator bagi Zon Pasir Gudang/Johor Bahru ialah Pn Suria bt Karto. Bagi Zon Simpang Renggam/Benut/Pontian pula Ketua Koordinatornya adalah Mohd Johari bin Sarkom manakala bagi Zon Kluang/Batu Pahat/Muar pula Ketua Koordinatornya adalah Mohd Fadzil bin Hj Ngadiman.

Sambutan terhadap misi bantuan ini sangat baik dan begitu menggalakkan. Selain ahli-ahli kelab ini, sumbangan daripada orang awam juga turut diperolehi. Pelbagai bentuk sumbangan seperti makanan, minuman, pakaian, lampin pakaibuang dan sumbangan dana turut diperolehi. Tanpa mengenal penat dan lelah serta keringat yang mengalir, ahli-ahli sukarelawan kelab zon-zon berkenaan terus berusaha menabur bakti meraih sumbangan untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir nanti.









Hari demi hari kian berlalu. Kini persiapan terakhir giat dijalankan. Persiapan sebelum melaksanakan misi seperti  mengasingkan barangan sumbangan dan memunggah barangan ke dalam kenderaan pacuan 4 roda dilakukan sehari sebelum hari sebenar penghantaran bantuan iaitu pada hari Jumaat, 2 Jan 2015 di rumah En Johari di Simpang Renggam. Barangan sumbangan yang diperolehi dari semua zon berkenaan dibawa dan ditempatkan secara berpusat di Zon 2 iaitu di Simpang Renggam.

Sukarelawan Kelab SMPB72 bagi misi ini akan dibekalkan dengan vest Crew Kelab SMPB72 yang telah disumbangkan oleh seorang penyumbang yang namanya enggan didedahkan.




Inilah usaha yang terbaik dan mampu kami lakukan bagi menghayati, menyelami dan membantu mangsa-mangsa bencana banjir khususnya kepada mangsa-mangsa di sekitar Negeri Johor. 

















Kepada semua penyumbang, tahniah dan terima kasih diucapkan. Semoga sumbangan yang diberikan mendapat ganjaran yang sewajarnya daripada Allah swt, in sya Allah. Aamiin.

Tuesday, 30 December 2014

Pelancaran Misi Kemanusiaan Bantuan Bencana Banjir Johor



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

MISI KEMANUSIAAN BANTUAN BENCANA BANJIR

Atas dasar keperihatinan dan semangat persaudaraan sesama islam, Kelab SMPB72 akan memberikan bantuan dan sumbangan kepada mangsa-mangsa bencana banjir yang sedang melanda negara sekarang ini. Kemusnahan harta benda dan nyawa yang sedang mereka alami sekurang2nya akan terubat dengan bantuan yang tidak seberapa ini. Sumbangan berbentuk pakaian, lampin pakaibuang, selimut, makanan, minuman dan sebagainya sangat dialu-alukan. Tumpuan bantuan bencana alam ini akan dilakukan bagi mangsa-mangsa bencana di sekitar Negeri Johor.

Pengumpulan barangan akan dilakukan seperti ketetapan dibawah:

1. Tarikh: Mulai sekarang.

2. Tempat2 Pengumpulan:

- Simpang Renggam/Benut/Pontian (Hubungi: Mohd Johari bin Sarkom 013-7638998).

- Kluang/Batu Pahat/Muar (Hubungi: Mohd Fadzil bin Hj Ngadiman  019-3005373).

- Pasir Gudang/Johor Bahru (Hubungi: Pn Suria bt Karto / Abdul Razak 012-7741567).

3. Masa: 9 pagi - 5 petang.

Penyerahan kepada mangsa-mangsa banjir akan dilakukan pada 3 Jan 2015 oleh ahli-ahli Kelab SMPB72 setelah proses pengumpulan dilakukan. Sukarelawan ahli-ahli Kelab SMPB72 yang ingin menyertai misi ini sangat dialu-alukan.

Bagi yang ingin menyalurkan sumbangan dana, wang boleh disalurkan ke dalam akaun seperti berikut:

1. Maybank : 151025794280 - Mohd Johari bin Sarkom. ATAU,

2. Maybank : 101067064548 - Mohd Fadzil bin Hj Ngadiman. ATAU,

3. Maybank : 151249976365 - Abdul Razak bin Samsuri / Suria bt Karto.

Sebarang pertanyaan sila hubungi pegawai2 diatas.

Marilah kita sama-sama berdoa dan membantu mangsa-mangsa bencana banjir ini walaupun dengan sumbangan RM 1 atau sehelai pakaian untuk mereka. Semoga usaha kita ini diberkati Allah swt dan dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka.

Semoga kesusahan dan kesengsaraan mereka segera ditamatkan dan dipermudahkan segala urusan mereka, in sya Allah. Aamiin.

Sekian, terima kasih.

✨KELAB SMPB72 - MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT✨

Layari: KelabSMPB72.blogspot.com

Copy/paste @ share @ retweet...
Mohon sebarkan.

Tuesday, 9 December 2014

Family Day 2014

Penuh keriangan... Sebahagian ahli keluarga yang hadir

Tanggal 6 Dis dan 7 Dis 2014 merupakan tarikh yang penuh nostalgia kepada sebahagian ahli-ahli Kelab SMPB72. Tarikh dimana mereka berkumpul bersama-sama keluarga masing-masing bagi merealisasikan program Family Day Kelab SMPB72 bagi tahun 2014. Bertempat di Teluk Gorek, Mersing mereka mula berkumpul dan memulakan aktiviti family day ini.

Antara ahli Kelab SMPB72 yang hadir

Atas dasar dan prinsip kerjasama serta semangat setiakawan, semua ahli kelab yang hadir telah sama-sama mengatur aktiviti kekeluargaan ini. Program yang menghimpunkan seramai 20 buah keluarga ini berjaya menyatukan lebih 90 ahli keluarga dalam pelbagai aktiviti sukaneka, BBQ, karaoke, cabutan bertuah  dan lain-lain lagi. Keseronokan dan keriangan semua yang hadir telah membuktikan mereka bukan sahaja keluarga bahagia KELAB SMPB72 malahan mereka semua SAHABAT SEJATI.

Terima kasih kepada semua yang hadir dan memberikan kerjasama sepanjang family day ini berlangsung. Tahniah  kepada semua AJK yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan program pada kali ini. Jumpa lagi di FAMILY DAY KELAB SMPB72 tahun 2015, In sya Allah.







Monday, 8 December 2014

Bahang Teluk Gorek - Family Day Kian Terasa

Bahang kian terasa. Family day Kelab SMPB72 akan diadakan pada 6 dan 7 Dis 2014 di Teluk Gorek, Mersing.

Namun ada dikalangan sahabat kelab yang begitu teruja untuk menyambutnya. Sehari awal iaitu pada 5 Dis 2014, mereka telah terpacak di Teluk Gorek Resort. Bohari Surat dan Siti Aminah Shafie, mereka adalah yang paling awal memulakan perjalanan ke Teluk Gorek sebelum ahli yang lain tiba pada 6 Dis 2014. Sangat teruja katanya.

Sementara itu, ahli-ahli yang lain tiba pada tengahari dan petang 6 Dis 2014.

Saturday, 25 October 2014

Salasiah bt Udar Dalam Kenangan (1972 - 2014)

Takziah. Al Fatihah...

Perginya seorang sahabat yang juga ahli Kelab SMPB72, Salasiah bt Udar merupakan satu kehilangan yang sangat dirasai. Pn Salasiah telah menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi tanggal 26 Okt 2014 di Hospital Pontian, Johor.

Beliau yang mengidap penyakit kanser payu dara sejak beberapa tahun lalu akhirnya pergi menemui penciptanya setelah berada di hospital berkenaan selama 4 hari. Beliau akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg Permatang Sepam, Benut, Johor pada hari yang sama selepas solat Zohor. Allahyarham meninggalkan 4 orang anak berumur 6 hingga 15 tahun dan menghembuskan nafas terakhir pada usia 42 tahun.

Antara ahli Kelab SMPB72 yang turut serta menziarahi jenazah ialah Johari, Hamisah, Rashidah, Aminah, Masdi, Hj Yazid, Jamaliah Bachok dan lain-lain.




Seluruh warga Kelab SMPB72 merakamkan ucapan takziah kepada keluarga beliau dan sama-sama kita berdoa agar rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang yang solehah, in sha Allah. Aamiin... Al Fatihah.

Wednesday, 22 October 2014

Melawat Pn Salasiah Di Hospital Pontian

Tarikh: 21 Okt 2014.
Tempat: Hospital Pontian.
Kehadiran: Johari, Hamisah, Rashidah, Samri dan Aminah.

Satu sesi lawatan kebajikan oleh wakil Kelab SMPB72 keatas Pn Salasiah bt Udar di Hospital Pontian, Johor pada 21 Okt 2014 yang lalu telah diadakan. Lawatan tersebut yang diketuai oleh En Johari selaku Pengerusi Kelab SMPB72 bersama-sama ahli kelab lainnya bertujuan menziarahi dan melihat sendiri keadaan terkini Pn Salasiah disamping menzahirkan simpati serta memberikan sokongan moral keatasnya.

Aminah dan suami ketika menziarahi Pn Salasiah
Pn Salasiah adalah seorang ahli Kelab SMPB72 dan telah disahkan mengidap penyakit kanser payudara sejak beberapa tahun lalu mula dimasukkan ke Hospital Pontian sejak 21 Okt 2014 yang lepas. Sebelum ini beberapa siri lawatan keatas beliau telah dilakukan oleh rombongan Kelab SMPB72 ketika Pn Salasiah terlantar sakit dirumahnya di Kg Permatang Sepam, Benut, Johor.

Seluruh warga Kelab SMPB72 mendoakan agar Pn Salasiah diberikan kekuatan, cepat sembuh dan dilindungi oleh Allah swt hendaknya, in sha Allah.

Hamisah memberikan kata-kata semangat

Kata-kata semangat dari Johari



Sunday, 19 October 2014

Pertandingan Mencipta Logo Rasmi KELAB SMPB72

Satu pertandingan mencipta loga rasmi KELAB SMPB72 telah diadakan sepertimana dinyatakan diatas. Kelab SMPB72 yang telah ditubuhkan sejak beberapa bulan yang lalu namun kelab ini masih belum mempunyai logonya yang tersendiri.

Diharap dengan terpilihnya logo ini nanti, Kelab SMPB72 bakal mempunyai satu identitinya yang tersendiri.

Tinjauan Awal Ke Teluk Gorek Untuk Family Day 2014

Tarikh: 18 Okt 2014
Tempat: Teluk Gorek dan Tanjung Resang Indah, Mersing
Penglibatan: Johari, Fadzil, Suria dan Samri.


Satu sesi tinjauan ke tapak hari keluarga KELAB SMPB72 telah diadakan pada 18 Okt 2014 bertempat Teluk Gorek dan Tanjung Resang Indah, Mersing, Johor. Tinjauan tersebut telah dilakukan oleh wakil KELAB SMPB72 iaitu En Johari, En Mohd Fadzil, Pn Suria dan En Samri.

Perbincangan dengan pihak pengurusan Chalet Teluk Gorek telah diadakan bersama-sama Pn Siti (owner) yang merangkumi aspek-aspek penempahan bilik, kemudahan-kemudahan yang disediakan, aktiviti-aktiviti sampingan & lain-lain aspek pentadbiran.

Hari sebenar Hari Keluarga KELAB SMPB72 bagi tahun 2014 telah dirancangkan pada 6 Dis - 7 Dis 2014.

Semoga semuanya berjalan lancar, in sha Allah.











Saturday, 4 October 2014

Sesi Teh Tarik Malam Aidil Adha

Tarikh: 4 Okt 2014 (Sabtu) jam 10 mlm.
Tempat: Kedai makan Kahar Tomyam, Parit Betak, Benut, Johor.
Kehadiran: Johari Sarkom, Fadzil Hj Ngadiman, Azmi Jamari, Salleh Masehan, Apandi Muharal, Masdi Karjani, Halim & Zamri Hamim.

Satu sesi sembang teh tarik telah diadakan diadakan di sebuah kedai makan di Parit Betak, Benut pada 4 Okt 2014 yang lalu. Mengambil kesempatan bersempena cuti Hari Raya Korban pada tahun ini, ada diantara sahabat-sahabat Kelab SMPB72 yang pulang ke kampung halaman. Peluang ini tidak dilepaskan untuk mereka berjumpa dan bersembang sambil mengenakan secawan teh tarik pada ketika itu.

Antara yang hadir ialah Johari Sarkom, Fadzil Hj Ngadiman, Azmi Jamari, Salleh Masehan, Apandi Muharal, Masdi Karjani, Halim & Zamri Hamim.






Friday, 3 October 2014

Perbincangan Awal Program Motivasi Dan Solat Hajat Perdana SMKPB 2014

Satu program motivasi peringkat SMK Parit Betak, Benut bagi tahun 2014 telah dirancang untuk diadakan bagi menaikkan semangat dan memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar Tingkatan 3 yang akan menduduki peperiksaan PT 3 dan pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang akan menduduki Peperiksaan SPM pada penghujung tahun 2014 ini.

Dari kiri: En Mohd Fadzil, Tn Hj Rauf (Pengetua),  Tn Hj Saadon (Kaunselor) dan En Johari


Perbincangan bersama YDP PIBG SMKPB, Tn Hj Mohd Jahis

Program yang akan diadakan di perkarangan SMK Parit Betak ini dijangka akan diadakan pada 25 hingga 28 Sep 2014 akan turut melibatkan ibubapa serta penjaga murid berkenaan dengan mengadakan solat hajat perdana secara beramai-ramai di Dataran SMKPB dan turut serta bersama anak-anak jagaan mereka ketika sesi motivasi berlangsung. Program yang akan dianjurkan oleh pihak PIBG dan  Kelab SMPB72 itu akan dikendalikan oleh FAR Training And Consultancy bersama motivatornya En Mohd Fadzil bin Hj Ngadiman, seorang bekas pelajar SMPB tahun 1989.

Memperincikan tentatif program

Sebagai langkah awal pelaksanaan program motivasi tersebut, satu sesi perbincangan diantara pihak sek, PIBG dan wakil FAR Training & Consultancy telah diadakan pada 1 Sep 2014 bagi memperincikan pengisian program tersebut.

Suami Siti Aminah Muncul Dalam Episod Majalah 3 Di TV 3

Pak Samad muncul di TV 3

Liputan Majalah 3 dari stesen tv swasta iaitu TV 3 keatas sebuah program komuniti bertajuk CEKETENG yang diadakan di Kg Belahan Tampok, Rengit pada 3 Okt 2014 telah mengukir kenangannya yang tersendiri. Acara ini bukan sahaja dilihat dapat mempromosikan kenderaan ceketeng itu, malahan secara tidak langsung turut mempromosikan Kg Belahan Tampok itu sendiri. Tahniah kepada AJK program Kg Belahan Tampok diatas inisiatif dan inovatif yang ditunjukkan. Pelbagai lapisan penduduk sekitar Kg Belahan Tampok telah datang menyaksikan acara tersebut yang dilihat begitu meriah sekali.

Namun begitu, apa yang menarik disini ialah, munculnya suami Siti Aminah (ahli Kelab SMPB72) dalam menyaksikan rakaman program tersebut dapat dihidu oleh krew Majalah 3 pada ketika itu. Ini suatu yang jarang-jarang diperolehi oleh orang kebanyakkan lain apabila TV 3 secara tidak langsung merakam gambar En Hamzah (suami Pn Aminah). Tahniah  diucapkan kepada En Hamzah.

En Hamzah ketika mula memasuki set penggambaran

Tertarik dengan idea inovatif ceketeng