Page

Wednesday, 31 December 2014

Persiapan Misi Kemanusiaan Bantuan Bencana Banjir

Sejak dilancarkan pada 26 Dis 2014 yang lalu, persiapan misi begitu rancak dijalankan. Pelbagai usaha dijalankan bagi menjayakan usaha murni ini. Pelbagai cabaran ditempuhi dengan tabah dalam usaha merealisasikan misi ulung khidmat masyarakat anjuran Kelab SMPB72 ini. Proses pengumpulan dibahagikan kepada 3 zon berdasarkan taburan penempatan ahli-ahli kelab iaitu Zon 1 - Pasir Gudang/Johor Bahru, Zon 2 - Simpang Renggam/Benut/Pontian dan Zon 3 - Kluang/Batu Pahat/Muar.

Ketua Koordinator bagi Zon Pasir Gudang/Johor Bahru ialah Pn Suria bt Karto. Bagi Zon Simpang Renggam/Benut/Pontian pula Ketua Koordinatornya adalah Mohd Johari bin Sarkom manakala bagi Zon Kluang/Batu Pahat/Muar pula Ketua Koordinatornya adalah Mohd Fadzil bin Hj Ngadiman.

Sambutan terhadap misi bantuan ini sangat baik dan begitu menggalakkan. Selain ahli-ahli kelab ini, sumbangan daripada orang awam juga turut diperolehi. Pelbagai bentuk sumbangan seperti makanan, minuman, pakaian, lampin pakaibuang dan sumbangan dana turut diperolehi. Tanpa mengenal penat dan lelah serta keringat yang mengalir, ahli-ahli sukarelawan kelab zon-zon berkenaan terus berusaha menabur bakti meraih sumbangan untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir nanti.









Hari demi hari kian berlalu. Kini persiapan terakhir giat dijalankan. Persiapan sebelum melaksanakan misi seperti  mengasingkan barangan sumbangan dan memunggah barangan ke dalam kenderaan pacuan 4 roda dilakukan sehari sebelum hari sebenar penghantaran bantuan iaitu pada hari Jumaat, 2 Jan 2015 di rumah En Johari di Simpang Renggam. Barangan sumbangan yang diperolehi dari semua zon berkenaan dibawa dan ditempatkan secara berpusat di Zon 2 iaitu di Simpang Renggam.

Sukarelawan Kelab SMPB72 bagi misi ini akan dibekalkan dengan vest Crew Kelab SMPB72 yang telah disumbangkan oleh seorang penyumbang yang namanya enggan didedahkan.




Inilah usaha yang terbaik dan mampu kami lakukan bagi menghayati, menyelami dan membantu mangsa-mangsa bencana banjir khususnya kepada mangsa-mangsa di sekitar Negeri Johor. 

















Kepada semua penyumbang, tahniah dan terima kasih diucapkan. Semoga sumbangan yang diberikan mendapat ganjaran yang sewajarnya daripada Allah swt, in sya Allah. Aamiin.

No comments:

Post a Comment