Page

Wednesday, 7 January 2015

Reunion Pertama Kelab SMPB72 Tahun 2014

Sebahagian daripada ahli lelaki Kelab SMPB72

Sebahagian daripada ahli wanita Kelab SMPB72

Takdir menentukan segalanya. Kuasa dan kehendak Allah tiada siapa dapat menghalangnya. Siapa sangka setelah lebih 25 tahun terpisah, kini mereka bertemu kembali. Bagaikan suatu yang tidak pernah terduga. Suatu yang meninggalkan seribu satu nostalgia dan memori indah kepada mereka yang turut menyertainya.

Reunion bekas pelajar-pelajar Sekolah Menengah Parit Betak (SMPB) atau kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Betak (SMKPB) menyatukan mereka kembali. Setelah meninggalkan bangku persekolahan sejak lebih 25 tahun yang lalu atau lebih tepat pada tahun 1989, kini mereka berjumpa kembali. Mereka dapat berkumpul lagi. Detik-detik persekolahan ketika di tingkatan 5 pada tahun 1989 atau sekurang-kurangnya tingkatan 3 pada tahun 1987 muncul kembali. Retro kembali menyingkap lagi. Reunion SMPB72 mencatat sejarahnya yang tersendiri apabila tanggal 29 Jul 2014 muncul sebagai tarikh keramat menemukan mereka semua. 

Tahniah Pn Idah... Pemenang tempat pertama cabutan bertuah

Majlis yang diadakan diperkarangan SMKPB itu telah berjaya menghimpunkan lebih 400 orang peserta. Mereka terdiri daripada bekas pelajar-pelajar sekolah SMPB yang lahir pada tahun 1972 dan isteri serta anak-anak mereka. Suatu pertemuan yang cukup menakjubkan dan penuh menceriakan bagi mereka yang hadir. Suatu yang tak dapat diungkapkan oleh kata-kata. Majlis yang meninggalkan memori yang cukup indah setelah sekian lama terpisah ekoran haluan masing-masing sejak meninggalkan bangku persekolahan lebih 25 tahun lalu.                    

Bertugas diseluruh pelusuk Malaysia dalam pelbagai sektor seperti kerajaan, swasta dan persendirian, Reunion SMPB72 ini menjadi platform terbaik untuk bertemu dan mengimbau kenangan silam ketika dibangku persekolahan. Retro kembali mewarnai majlis apabila ada diantara mereka yang datang memakai uniform sekolah seperti zaman persekolahan dahulu. Suatu yang benar-benar mengagumkan dan penuh nostalgia serta penuh syahdu.      

Happy birthday... 

Majlis yang turut dihadiri oleh bekas guru-guru SMPB sekitar tahun 1980-an seperti Cikgu Jahis, Cikgu Rahim, Cikgu Masamah, Cikgu Wahab dan lain-lain lagi begitu meriah sekali suasananya dengan celoteh dan aksi yang tersendiri juruacara majlis pada hari tersebut. Penampilan En Mohd Fadzil dan Pn Suria sebagai pasangan juruacara pada majlis berkenaan mewarnai kenangan silam sekitar 1989 itu. Majlis Reunion SMPB72 yang julung-julung kali diadakan ini melakar sejarah kerana mencatatkan kehadiran yang begitu memberangsangkan. Mewarnai suasana majlis, jamuan makan yang berkonsepkan jamuan hari raya dihidangkan dengan ketupat, lemang, rendang dan lain-lain juadah hari raya. Acara menarik sepanjang majlis adalah cabutan bertuah berupa hamper, peralatan eletrik dan dapur memasak turut diceriakan dengan selangseli nyanyian karaoke oleh peserta majlis. Kemuncak cabutan bertuah adalah sebuah tong gas yang dimenangi oleh Pn Noridah Marikee. Tidak ketinggalan juga adalah acara sambutan harijadi kepada bekas pelajar-pelajar SMPB72 itu yang lahir pada bulan tersebut.

Tahniah... Antara peserta yang mendapat hamper cabutan bertuah

Sejarah juga tercipta dimajlis reunion ini apabila bekas pelajar-pelajar SMPB72 itu bersetuju untuk turut menubuhkan dan  seterusnya mengiktiraf penubuhan Kelab SMPB72. Kelab yang dianggotai oleh bekas pelajar-pelajar SMPB yang lahir pada tahun 1972 ini turut mendapat pujian dan galakkan oleh bekas guru-guru yang pernah mengajar mereka terutamanya Yang Dipertua PIBG SMKPB iaitu Tn Hj Mohamad Jahis bin Othman (bekas guru SMPB) yang juga merangkap Pegawai Khas Menteri Kewangan Malaysia.

Bertitik tolak daripada itu, Kelab SMPB72 juga telah mempunyai laman blognya sendiri dan ianya boleh dilayari melalui pautan laman web www.KelabSMPB72.blogspot.com.

Disamping yuran ahli, apa yang membanggakan lagi adalah dengan usaha serta inisiatif bekas pelajar-pelajar ini, perbelanjaan menganjurkan majlis reunion tersebut dibiayai dan disumbangkan oleh ahli-ahlinya termasuk sumbangan individu yang pemurah dan baik hati. 

Ajal maut ketentuan Allah. Majlis reunion ini turut bertafakur sejenak dan menghadiahkan surah Al Fatihah kepada bekas pelajar-pelajar SMPB72 yang telah kembali ke rahmatullah. Mereka adalah allahyarham En Azman bin Jamil dan Pn Salasiah bt Udar. Semoga roh mereka ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal soleh, in sya Allah. Aamiin.

Sebelum bersurai, semua peserta mengabadikan kenangan masing-masing dengan bergambar beramai-ramai diatas pentas yang telah disediakan.

Semoga kenangan manis dan memori dizaman persekolahan ini akan terukir lagi pada majlis reunion Kelab SMPB72 pada masa akan datang dengan kehadiran yang lebih memberangsangkan dan semaksima mungkin. Diharap tali silaturrahim akan terus kekal berpanjangan. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua yang hadir. Tidak dilupakan juga ucapan terima kasih kepada individu-individu yang telah menyumbangkan sumbangan dalam apajua bentuk didalam menjayakan majlis reunion pada kali ini. Memang terbaik!. Tahniah sekali lagi  kepada semua ahli Kelab SMPB72. You all memang sporting. Proud of you guys...

No comments:

Post a Comment